Thursday, June 23, 2011

Kenangan dengan abah..

.
0 comments

Saya baru kehilangan seorang abah, satu-satunya ayah mertua saya di dunia ini...abah Ayob bin Zainal. Abah kembali ke rahmatullah pada 12.6.2011, ketika kami sekeluarga masih berada di bumi New Zealand. Saat saya mendengar khabar berita pemergian abah, saya menangis sendiri, dan perasaan rindukan abah datang tanpa diundang, sama seperti rindunya saya pada Allahyarham emak, emak Supiah Binti Sario. Satu persatu wajah dan gambaran abah singgah di ingatan saya bersama kenangan interaksi saya bersama abah.



Sebenarnya tak begitu lama saya sempat menjadi anak menantu abah yg kedua. Hanya lebih kurang 3 tahun. Tapi cukup untuk saya merasa kasih sayang abah. Saya tak akan pernah lupa abah memasakkan dengan kedua tangannya sendiri lauk favorite saya, iaitu sardin, setiap kali saya balik ke rumah mereka. Memang sardin masakan abah sangat sedap. Dan saya masih ingat, saya cakap kat abah yang saya teringin nak makan manggis, dan tak lama kemudian abah pulang ke rumah dengan seplastik buah manggis.

Abah juga akan kecoh apabila buah jambu air depan rumahnya masak ranum, sebab dia tahu anak menantunya yang sorang ni sangat suka makan buah jambu. Dan saya masih ingat dan sangat ingat, ada satu waktu, terdapat sebuah kedai bubble tea di Giant Senawang...saya cakap yang air bubble tea ni memang favorite saya...tau-tau je abah dah balik rumah dengan beberapa bungkus air buble tea..satu untuk emak, satu untuk abah, dan satu untuk saya!

Malah abah pernah bertanya saya, ketika itu saya sedang makan dan abah duduk di kerusi favoritenya... dan saya takkan lupa kata-kata abah...”ape lagi yang ekau teringin nak makan, umi?” Saya terharu, dan saya tahu..abah sedang cuba menggembirakan anaknya ini. Masa tu saya jawab, saya teringin nak makan kupang, dan memang betul esoknya abah balik ke rumah membawa seplastik kupang.

Saya tahu, abah sayang saya.

Abah juga ramah dengan saya. Kalau saya balik kampung, ada saja yang dia borakkan dengan saya. Abah gemar bertanya tentang study saya, pengalaman saya belajar di US, tentang kerja saya... walaupun saya selalu mendengar cerita yang abah seorang yang sangat garang, tapi sepanjang saya mengenali abah, tak pernah abah bersikap garang walaupun sepanjang dua bulan saya berpantang di rumah mereka. Abah sentiasa berborak dengan saya dengan nada yang ramah, tak pernah memarahi atau meninggikan suaranya sehingga saya hampir susah untuk percaya yang abah seorang yang garang.

Pada saya, abah seorang abah yang baik...yang sentiasa cuba membuat saya berasa gembira di rumahnya dengan membeli kan apa-apa yang saya teringin nak makan, yang ramah dengan saya, yang sangat sayangkan anak saya. Saya berterima kasih kepada Allah kerana memberi saya kasih sayang seorang abah mertua. Walaupun kini takkan ada lagi sardin masakan abah, saya takkan pernah lupa kasih sayang abah pada saya.

Terima kasih abah..

Dan sekarang ini, setiap kali saya mengirimkan Al-fatihah dan doa untuk Allahyarham emak saya, saya pasti mengirimkannya untuk abah juga. Saya sentiasa berdoa kepada Allah semoga Allah mengasihi kedua insan yang saya sayangi ini seperti mana mereka mengasihi saya. Dan saya juga akan mencontohi suami untuk membaca surah Al-Mulk setiap hari untuk Allahyarham emak dan abah, semoga dapat membantu emak dan abah di alam baru mereka. Benarlah kata suami, tiada apa yang lebih bermakna buat emak dan abah sekarang ini selain kiriman doa yang tidak putus dari anak-anaknya.

Kerana itu jugalah, saya dan suami meletakkan mission membesarkan anak kami yaya bukan setakat kefahaman mission hidup biasa : cemerlang dengan deretan A semata, tetapi kami akan berasa amat berbahagia jika dia menjadi anak yang solehah, yang punya nilai dan prinsip hidup lurus, yang kenal siapa dirinya dan siapa Tuhannya, yang tahu apa yang harus dilakukannya di dunia ini, dan yang selalu mendoakan kami mama dan babahnya dan mengirimkan buah tangan pahala sewaktu kami tiada lagi peluang untuk berbuat amal di dunia ini.

Tapi mission ini takkan tercapai melainkan kami mengajarnya agama dan nilai hidup, kerana seorang anak hanya kain bersih yang kosong, ibu bapalah juga yang mecorakkannya. Semoga Allah membantu kami melaksanakan mission besar ini, Amin Ya Rob.

readmore »»

About